Rabu, 23 Mei 2018

Gerimis Petang

Kereta ku meluncur diatas lebuhraya di celahan antara kenderaan-kenderaan yang menghala ke tujuan masing-masingnya. Perjalanan ini ku rasa jauh, setengah jam pemanduan kurasa bagai 3 hari perjalanan. Di kepala ku berlegar-legar memori silam.

Teringat aku kelibat seorang lelaki ini, tinggi lampai, berbadan sasa, berkulit gelap, tapak tangannya kasar, berqurta putih dan labuh. Jarang aku lihat dia tanpa kopiah atau serban di kepala. Di waktu kecil aku, hanya susuk belakang dia yang kerap ku ingat, kerana jalannya laju meninggalkan aku yang berlari mengejarnya di belakang. Sesekali dia menoleh dan tersenyum. "Aiyyyy ceeeepat da"

....................................

Akak dah sampai, matanya lembab. Ditangannya senaskah Yassin. Dari duduknya dia berdiri menyambutku yang baru tiba. "Seorang je ke?"

Aku hanya mengangguk lemah.

.................................

Dihujung kerongkong ku bagai ada sekatan, Perit ku rasa di tiap lafaz kalimahku. Dari belakang mata terasa panas dan perlahan-lahan melembab. Berat dihati mendetakkan tiap degup yang seterusnya. "Salaamun qaulammirabbirahim"


Isnin, 21 Mei 2018

Dari Atas Pagar

Dari atas pagar ini, aku lihatkan dunia tanpa kaca mata bias dan diskriminasi.
Timbang tara aku adil dan saksama, pada yang memegang atau menentang.
Persepsi tanpa bukti, aku letak tepi untuk dikaji nanti.
Goncang aku dengan fakta dan informasi, bukan hanya dengan janji-janji.
Perjuangan yang hakiki adalah bila punya dasar yang teguh,
berserta congak mantap taktikal dan strategi nan ampuh.

Pada apa pun,
Berdoalah semoga di pemilihan kita ini.
Membawa aman sejahtera pada pertiwi.
Juga marhaen yang dicintai.

Isnin, 16 April 2018

Terengganu dan Kepok Awang Goneng

Kali pertama aku ke Terengganu adalah pada tahun 2004, rombongan sekolah ke Terengganu dan Kelantan. Ketika itu hati aku, anak muda kota raya ni dah mula tertambat dengan keunikan kedua-dua negeri di Pantai Timur ini. Rasanya lain, ada sesuatu yang buat aku terpikat. Budaya, alam semulajadi, suasana, makanan, semuanya bagi aku unik.

Aku mendapat peluang untuk lebih mengenali Terengganu bila aku mendapat peluang melanjutkan pelajaran di UiTM Dungun. Ketika itu ramailah makcik-pakcik bawang yang cakap "tak lama lagi dapat la orang Terengganu tu."

Tak diduga-duga, memang betul dapat memperisterikan anak dara Terengganu, tapi jumpa di Shah Alam. Benarlah kata orang, kalau dah jodoh, tak kan kemana. Dan peluang ini dapatlah aku alasan untuk lebih kerap ke Terengganu, dan menjadikan Terengganu sebagai rumah kedua aku.

.........................................................................


Memang menjadi rutin aku dan isteri, balik kampung ke Terengganu mesti tak akan lupa untuk tapau keropok lekor buat bekalan di rantau kota ni. Terengganu dengan keropok lekor memang tak asing lagi, kalau di tanya mana-mana warga negara Malaysia ni, apakah makanan popular di Terengganu? Salah satu jawapannya mesti Keropok Lekor, atau orang sana panggil "kepok".

Keropok Lekor Crispy Awang Goneng, sejak dua menjak ni jika berkesempatan pasti kami akan borong Keropok Lekor ni. Di Terengganu banyak lagi Keropok Lekor lain, antara yang popular ialah di Losong dan Kelulut. Special Keropok Awang Goneng ni, dia datang dalam vakum packaging yang senang untuk kami bawak balik. Lagipun tauke dia memang kawan aku dari degree sampai ke ofis.

Banyak lagi produk-produk lain dia, macam frozen takoyaki dan kuih ropa. Boleh dapatkan detail di sini. Tapi feveret kami suami isteri adalah Keropok Lekor Crispy. Memang tiap kali makan memang akan terkenangkan kampung halaman, cicah kepok sambil menikmati suasana desa tercinta. Terus rasa nak cari Nasi Kerabu, Nasi Dagang, Kuah Singgang dan sebagainya.

Terima kasih Awang Goneng, lain kali kita borong lagi

Khamis, 12 April 2018

Lalang

LALANG (Imperata cylindrica)
sejenis tumbuhan kategori rumpai yang tumbuh melata
Mari mengenali jenis-jenis Lalang

1. Lalang, sejenis tumbuhan yang tidak memberi manfaat dalam agrikultural dan ekonomikal petani. Walau wujudnya memenuhkan ruang tanah dan berkongsi sumber kemandirian seperti air dan cahaya pada tumbuhan pertanian lainnya, kadang-kadang ianya berguna untuk main sorok-sorok.

2. Lalang, sejenis manusia yang tak punya pendirian. Sering memilih pendapat popular masyarakat dari berpegang pada pendapat sendiri, atau tidak memilih mana-mana pendapat dan cuma terperuk dalam dunianya sendiri membiarkan orang lain menentukan haluan hidupnya.


#JomMengundi #PRU14

Selasa, 10 April 2018

Meremang Di Lebuhraya

Muzafar, seorang pemuda yang berasal dari sebuah desa yang damai di sebuah negeri di Pantai Timur sedang dalam perjalanan, dari ibukota ke kampung halaman. Setelah 3 tahun membanting tulang di kota, mencari secebis rezeki di tanah orang. Terasa rindu akan damai desa, terngiang-ngian lagu Nyanyian Serambi dari Ramli Sarip di telinga Muzafar. Almaklumlah di kota ni sibuk berselubung asap-asap, debu-debu, dan kerakusan manusia. Sungai nya taklah nyaman seperti sungai di desa, kalau pancing belum tentu dapat ikan, silap-silap dapat mayat orang.

Menjadi lumrah hidup, manusia ni asal berjaya sikit dah mulalah takbur, riak, sombong. Untuk menunjukkan dia dah berjaya, Muzafar membeli kereta baru sebelum pulang ke kampungnya. Tak kan nak bawa motor buruk je balik kampung. Dulu masa dia masih tak berduit, zaman dia masih bawa Honda 2-seaters, takde bumbung, iaitu Honda EX5, cintanya telah ditolak Tijah, anak Pak Abu. Demi nak membongkakkan diri, Muzafar angkat Perodua Myvi satu, kereta idaman Tijah satu tika dulu, warna putih, gear auto, spec basic je, sebab loan tak lepas.

Jadi memandulah Muzafar malam itu, dia tak suka memandu jarak jauh di siang hari, panas. Lagi pula silap timing jalan jem, sebab tu dia suka memandu malam. Lepas Isyak lebih kurang jam 11 dia keluar rumah, berbekalkan minuman tenaga kukubima, choki-choki sepeket dan gula-gula hack bagi menemankan pemanduan solo beliau. Kalau ngantuk boleh mengunyah, kata Muzafar dalam hati kecilnya.

Lepas saja dari tol Gombak, kelihatan jalan sunyi sepi malam itu. Bulan mengambang penuh, tak ada awan dan bintang yang kelihatan. Tapi jalan agak terang dek suluhan cahaya sang purnama. Adalah dua tiga kenderaan kelihatan selang setengah jam macam tu. Muzafar buat rilek je lah. Keadaan lancar sehinggalah dia melepasi kawasan hutan yang berbukit. Terasa kereta beliau seakan semakin berat. Tekan punya tekan minyak, tapi tak pergi. Menjerit-jerit gaklah enjin kereta baru dia ni.

Radionya tiba-tiba senyap tak berbunyi. Bulu roma si Muzafar ni pun dah berdiri. Nak baca ayat qursi pun jadi tonggang terbalik, dia pun bukan hafal sangat. Dia pun baca saja apa yang terlintas di kepala termasuk lah niat puasa dan juga doa tidur, itupun tajwid lari. Masih berat lagi kereta tu, saat itu Muzafar mula menyesali dosa-dosa beliau, menyesal tipu bapak dia masa dia ponteng kelas mengaji dulu. Kalau tak boleh gak baca-baca apa yang patut, bisik diri nya sendiri sambil tangan menggeletar menyuakan kukubima kebibir. Kering tekak.

Dia tak berani mengerling ke cermin pandang belakang, apatah lagi menoleh ke seat belakang, belajar dari kesilapan watak-watak dalam cerita seram malaya. Mata dia hanya fokus ke jalan saja.
Peluh dingin pun menitis didahi, Muzafar dapat merasakan seperti ada yang entiti lain dalam kereta ini, yang pasti entiti tersebut bukan lipas, sebab sebelum bertolak siang tadi dia sempat hantar car wash. Basuh luar dalam, walaupun kereta baru.

"Ya Allah, kenapa berat kereta aku ni" Doa Muzafar yang ketika itu baru ingat tuhan.

"Memang la berat, kau pakai gear rendah tu" Ujar lembaga berambut panjang di seat belakang sambil tangan nya dihulur ke depan membetulkan saluran radio Muzafar.

"Sini Era.fm frequensi dia lain" Sambung lembaga tersebut lantas terbang menembusi tingkap belakang belah kanan selepas siap set radio Muzafar ke frequensi yang betul.

Isnin, 26 Mac 2018

Cuti-Cuti Malaysia: Century Pines Resort, Cameron Highland

Jadi, bersempena ulang tahun perkahwinan, aku dan isteri merancang untuk bercuti bulan madu, biar ia chill, relaxing, dan simple. Kami memilih untuk ke Cameron Highland, nak menikmati nyaman tanah tinggi sambil menghirup teh panas dan strawberri segar di balkoni.

Kami pun bertolaklah kesana, agak lewat tengahari juga sebab servis kereta dulu takut meragam lak kat atas tu nanti. Nak dijadikan cerita dekat 3 jam gak menunggu kereta siap sebab banyak kereta lain, nak tukarnya sikit je.

[Lesson #1: nak servis kereta sila booking slot atleast sehari sebelum dulu]

Cik puan besar dah tarik muka dah, pulak tu perut tengah lapo.

[Lesson #2: perempuan dengan makanan jangan buat gurau]

Perjalanan kesana yang patutnya mengambil masa 3 jam, jadi 5 jam. Sebab? Cuti sekolah. Memang jem la, lagi pulak ada eksiden, masyarakat prihatin di Malaysia ni memang pantang eksiden, walhal eksidennya sikit je pun.

[Lesson #3: rancang perjalanan anda, gunakan waze/google map sebelum mulakan perjalanan]

Sesampai di Tapah nak ke Tanah Tinggi, jalannya memang menguji kekentalan hati, dengan jalan yang curam, bengkang bengkok, tambah lagi, licin hujan lebat. Memang merbahaya. Pastu sebelah kiri kanan jalan ni kadang ada longkang kecil, masa kitorang lalu tu ada satu Myvi jadi mangsa dah, tayar masuk longkang, ada orang asli tolong. Lagi, berhati-hatilah dengan tanah runtuh.

[Lesson #4: Hati-hati memandu di kawasan merbahaya, biar lambat asal selamat]

Tiba di Tanah Tinggi, Cameron Highland. Kami menetap di Century Pine Resort (detail di sini, review di sini). Letaknya memang strategik, ditengah-tengah kesibukan Tanah Rata, 100m ke stesyen bas, Marrybrown, pasar, etc. Dalam 400m ke air terjun, tea plantation, etc. Parking pun ok.

Rebiu aku tentang resort ni, 4/5 bintang aku bagi. Lokasi best, Bilik dan kemudahan ok, kitorang ambil Deluxe, harga memang affordable dan value for money. Bilik dia luas, fasiliti boleh pakai, walau agak tua kelengkapannya. Air panas kena on setengah jam baru boleh pakai (sejuk gila air nak mandi). Air mineral tak provided (normal hotel lain ada, katanya initiatif mesra alam, dia bagi water filter, tapi tak on, serupa tak payah). Aircond tak ada, tapi tengah hari pun sejuk kat situ. Makanan dia terbaik, sedap dan banyak pilihan.

Rajah: Sekitar Century Pines Resort

[Lesson #5: Sebelum menempah hotel, check lokasi dulu, kat Cameron ni parking dengan drive memang susah, lagi-lagi cuti sekolah]

[Lesson #6: Kalau nak aman kat sana, elak-elaklah pergi masa cuti sekolah]

Memandangkan mak buyung tak berapa larat, dan tambah lagi cuti sekolah, kami hanya duduk dalam resort je.

[Lesson #7: bawa air mineral sendiri, tak elok pakai water heater hotel ni, tak tau hygenic nya]

Nak balik tu adalah singgah kat Agropark Skypark ke apa namanya, tak pergi tempat yang femes-femes, sebab? Masyallah jemnya, parking nya, sepadat-padat umat. Tapi jangan risau, banyak je tempat-tempat lain. Lebih kurang je semua.
Rajah: Santapan kami di Agropark ke Skypark tah

[Lesson #8: Kuatkan iman jika anda masih berteguh mahu ke Boh Tea Plantantion, Brinchang Night Market, etc di musim cuti sekolah ni]

Lepas tu singgah gak kat Lata Iskandar, sebab nak ambil gambar je. Tapi hujan lebat lak, sudah ber-romantika la kami bercinta dibawah payung asmara, lepas tu berteduh bawah gerai kat situ bersantapkan nasi ayam (ayam ke batu? keras ya amat) dan kopi o panas.
Rajah: Raja Rimba dan Sang Permaisurinya
[Lesson #9: Just enjoy every moment you got with your loved one, every little things] 

Rabu, 14 Mac 2018

Selamat Ulang Tahun, Sayang

Di 3 tahun yang kita harungi ini.

Buatku sedar,
Pada tiap usik-usik yang membangkit kejengkelan
Pada tiap rajuk manja yang menguji kesabaran
Pada tiap leter panjang yang seperti tidak kehabisan
Menambah warna dalam bibit-bibit percintaan.

2018,
Semoga bertambah warna perhubungan ini.
Dengan hadirnya orang baru yang sekian lama di nanti.

Tuhan,
Kau redhakanlah perhubungan ini.
Salurlah kekuatan,
Agar berterusan bahagia kami meniti.
Dalam mencari nikmat syurgawi.

Nor Afiqah Ramli,
I love you so much.
Terima kasih kerana sentiasa bersamaku selama ini, dalam susah dan senang.
Terima kasih untuk segalanya.

Selamat Ulang Tahun, Sayang
14/03/2015

Selasa, 27 Februari 2018

Explorasi Geng Lapo: White Water Rafting di Gopeng



Post ini memang dah lama simpan.
April 2016, Geng Lapo ada buat extreme trip, white water rafting ke Sungai Kampar, Gopeng, Perak.

White Water Rafting ni apakah mahkluknya?
Ia adalah sejenis sukan air lasak yang anda akan mendayung sampan belon mengharungi arus air (sungai/air terjun) yang juram dan laju (bergantung pada tahap air, dia ada Class 1-6, 1 tu air kecil anak, 6 tu tahap malapetaka).

Di Sungai Kampar ni, tahap air nya adalah 1 hingga 3, bergantung pada cuaca dan keadaan.

Harga pakej yang kami ambil adalah RM160/pax dengan Riverbug (ketik link untuk detail). Lunch buffet disediakan, insurans coverage pun ada. Locker kena sewa asing. Gambar pun bayar asing.

Nak ke sana.
Perjalanan dari Shah Alam mengambil masa dalam 2 jam melalui Lebuhraya Guthrie pastu masuk Lebuhraya Utara-Selatan, exit dekat Tol Gopeng. Keluar tol belok kiri lepas tu kat Kg Mesah Hulu belok kiri, dalam 5km sampai la kat Ulu River Lodge. Kat sini kumpul nanti dorang akan bawa naik lori pergi hulu sungai.

Di hulu sungai akan ada sesi briefing, dia akan ajar semua cara-cara. Nak mendayung, cara pakai alat keselamatan, arahan-arahan yang perlu dipatuhi, kalau jatuh sungai nak buat apa. Semua dia bagitau. Lepas tu ada sesi water confident lak.

Dalam 10 minit berendam dalam air, baru start aktiviti water rafting nya, akan ada seorang guide follow korang dalam tube tu. Satu tube (sampan belon) tu boleh muat 6 orang (termasuk guide), tapi bergantung pada saiz orangnya gak. Jadi kitorang berlima, so memang ngam la. Aktiviti ni memang wajib dicuba bagi semua peminat sukan lasak, memang habis kudrat la. Tapi apa-apapun, yang penting enjoy.

Isnin, 26 Februari 2018

Jangan Pernah Menyerah

Di dalam kehidupan ini, 
Yang kita dapat, tidak semestinya yang kita mahu.
Yang kita mahu, tidak mestinya yang kita perlu.

Paling penting,
Jangan pernah berhenti mencuba.
Memberi yang terbaik sehabis-habis daya.

Moga di akhirnya,
Peroleh kita yang terpaling layaknya.
Selaras dengan daya usaha yang dicurahnya.

---------------------------------------------------------

Lena malam berteman senyuman

Khamis, 22 Februari 2018

22 Februari

22 Februari, hari yang sama di tahun 2014. Kira-kira 4 tahun yang sudah. Dua wanita yang paling aku kasih ini, memahat janji. Janji yang diikat rapi berbekal cincin dijari, sebagai bukti.

---------------------------------

Bukan apa, saja.
Teringat