Rabu, 3 Mei 2017

Cantik

Razif sibuk sekarang ni, dengan ekonomi dunia yang tak menentu. Kalau dulu kerja dia asal siap bahagian dia, ok lah. Kalau tak siap pun esok-esok ada lagi. Tapi sekarang ni, dia kena jaga-jaga. Silap haribulan kang jadi penganggur segera. Kena lah bagi bos dia nampak elok je di mata bos. Tu lah, memang rutin harian Razif sekarang ni keluar rumah gelap, balik rumah gelap.

Jikalau hari-hari lainnya, Razif akan tidur awal, sebab penat seharian membanting tulang, ataupun membanting otak, memandangkan kerjanya tak guna tulang 4 kerat pun, lebih kepada mengadap komputer riba dan menyelesaikan masalah klien. Tapi hari ni ada final Champions League pukul 3 pagi, Manchester United vs Real Madrid pula tu, mana boleh miss. Jadi Razif rancang untuk berjaga malam ni.

Jam 1 pagi, sambil-sambil Razif membancuh milo di dapur, kedengaran suara dibelakang rumahnya. Suara perempuan, menangis.

"Wuuu wuuu wuu"

Berderau darah dia, mana pula datang suara perempuan tengah-tengah malam buta ni. Sebelah kanan rumahnya kosong, sebelah kiri dan belakang hutan semak. Bini nya sudah tidur awal tadi lepas tidurkan baby.

"Aishhh, jangan bukan-bukan" bisik Razif pada dirinya sendiri.

Razif pun menyelak tingkap dapurnya, di intainya laman belakang rumahnya, gelap. Dalam samar-samar kegelapan itu dia mencari punca bunyi tangisan itu.

Nah! Penanggal!

Jantung Razif kencang berdegup, kaku seketika dia disitu melihatkan makhluk yang mengerikan itu begitu hampir dengannya, di atas pokok pelam yang cuma terletak beberapa kaki dari tingkap dapurnya.

"Ke.. Kenapa kau menangis, Syaitan" Ujar Razif tergagap-gagap ketakutan.

"Aku juga adalah manusia, kerna dambakan kecantikan aku berdamping dengan syaitan" Makhluk itu menyahut.

"Ca.. Cantik?, ada apa dengan kecantikan?"  

"Perempuan dengan kecantikan."
"Se-brutal mana pun wanita itu, jauh di sudut hatinya pasti ada menginginkan untuk kekal cantik menarik tertarik kau memang the boom."
"Walau cantik itu subjektif, tapi apa yang ada ini tidak cukup, tidak akan pernah cukup. Lagikan cantik itu fitrahnya tak pernah sejajar dengan umur, umur yang memamah mulusnya kulit, montoknya tubuh, ikalnya rambut, sinarnya mata, segala yang sementara"

"Tak akan pernah cukup" Sambung makhluk itu lagi.

......

Termenung sekejap Razif, cuba menghadamkan luahan hati (bukan hati fizikal yang tergantung keluar kat kepala Penanggal tu, hati rohani) makhluk tak dikenalinya ini.

"Ahaa.. Nak cantik? Kenapa tak cakap awal-awal" Sentak Razif lantas masuk sebentar kedalam.

Seketika kemudian Razif keluar semula.

"Gunakanlah produk kosmetik cap Akak Mantap, keluaran bumiputra. Yang krim ni untuk kulit, pakai sebelum tidur, ni krim siang, sapu kat muka 3 kali sehari, yang ni toner, blah blah blah lipstik blah blah blah foundation blah blah colgate blah blah #terlajaklaris #barulahputeh....... "

Si Penanggal: "....."

Dari ruang tamu kedengaran lagu intro Champions League menandakan bola dah nak mula.

Tiada ulasan:

Catatan Popular